Monday 21 November 2011

BALASAN ALLAH SWT KEPADA YANG BERSEDEQAH

Allah membalas sehingga sepuluh kali ganda kepada orang yang bersedekah. “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali ganda”. (Surah al-An'aam, ayat 160). 
Faedah lain daripada sedekah ialah kesan penyuciannya. Ia menyucikan harta dan diri seseorang. Jika diri dibersihkan daripada sifat-sifat ego maka tujuan sedekah atau zakat batin (kerohanian) tercapai. Memisahkan seseorang dengan apa yang dia anggap sebagai miliknya mendatangkan balasan yang berganda di akhirat: “Siapakah yang hendak meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik lalu Dia gandakan (ganjaran) baginya, padahal (adalah) baginya ganjaran yang mulia?” (Surah al-Hadiid, ayat 11). 
“Berbahagialah orang yang membersihkannya (jiwanya)”. (Surah asy-Syams, ayat 9). Zakat, ‘sedekah yang indah' adalah perbuatan yang baik, sebahagian daripada yang kamu terima, kebendaan dan kerohanian. Belanjakanlah kerana Allah, kepada Allah. Walaupun balasan berganda dijanjikan jangan pula melakukannya kerana balasan tersebut. 
Berikan zakat dan sedekah secara mengambil berat, dengan kasih sayang dan kasihan belas bukan sebagai budi, mengharapkan pujian, membuat penerima merasa terhutang budi dan terikat. “Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu batalkan (pahala) sedekah kamu dengan bangkitan dan gangguan”. (Surah al-Baqarah, ayat 264). 
Jangan meminta dan mengharapkan faedah keduniaan bagi perbuatan baik kamu. Lakukannya kerana Allah semata-mata. Firman Allah: “Kamu tidak akan dapat (balasan) kebaikan kecuali kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan sesuatu apa yang kamu dermakan itu Allah mengetahui akan dia”. (Surah al-‘Imraan, ayat 92).

No comments:

Post a Comment