Sunday 27 November 2011

PEMBANGUNAN FIZIKAL/ TUBUH BADAN

Sekiranya jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah yang dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya, tidak bermaya dan lesu? Setiap masa ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit. Kita tidak menafikan bahawa sakit itu merupakan ujian dari Allah s.w.t. Namun demikian, seseorang manusia itu tidak boleh menempah maut dengan membiarkan dirinya diselubungi dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh membawa maut.

Oleh itu, kita perlu memiliki fizikal yang sihat untuk membina tamadun Islam selaras dengan kehendak Allah s.w.t yang mahukan hamba-Nya menjadi khalifah di muka bumi ini. Tubuh yang sihat akan melahirkan akal yang sihat, seterusnya dapat merancang pelbagai perkara untuk manfaat umat Islam sejagat.

Untuk meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian, vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak. Ini amat bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 172 :

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya”.

Setelah memenuhi kesemua aspek yang telah diterangkan tadi, maka kita akan dapat merasakan berlakunya suatu perubahan yang amat ketara di dalam jiwa dan minda kita. Dan di sini sudah tentunya proses pembinaan insan sudah mula tercapai dengan sebaik yang mungkin.

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna Hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah. Oleh itu, mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan “Budaya Hijrah” dalam kehidupan kita seharian, sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:

“Seorang Muslim itu ialah orang yang menyelamatkan saudara Muslim yang lain daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah.” - (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i)

No comments:

Post a Comment