Sunday 27 November 2011

Hijrah dan Pengorbanan

Mungkin kita memahami pengertian Hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah. 
Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. 
Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.

Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.

Sedar ataupun tidak, kita sekarang ini akan berada di bulan Muharram bagi tahun baru 1433H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, di antaranya ialah dengan meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap taqwim Hijrah yang sangat tinggi nilainya.


Sudah sekian lama, umat Islam lebih terbiasa dengan kalendar Masihi dalam kehidupan seharian. Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan taqwim Hijrah untuk mengatur urusan hidup kita seharian? bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada taqwim Hijrah?. 


Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan taqwim Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah.

Sambutan tahun baru Hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep Hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. 
Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu, kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail A.S serta beberapa pengorbanan yang lain, maka pada bulan Muharram pula, kita perlu memfokuskan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah sehingga berjaya mendirikan Negara Islam.


Perintah Hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini.


Jelas sekali hubungan rapat antara korban dan Hijrah tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hanya orang yang sanggup berkorban kerana Allah SWT dan Rasul-Nya sahajalah yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta diberi pertolongan oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment